OGOS 2024

Mukah Bakal Mempunyai Kampus Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Kolej Laila Taib - Tawar Kursus Kejuruteraan Marin


MUKAH, 13 Ogos - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini mengumumkan bahawa Mukah bakal mempunyai kampus Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Kolej Laila Taib yang menawarkan kursus dalam bidang Kejuruteraan Marin. 

Kampus ini dijangka menjadi satu-satunya institusi di Malaysia yang menawarkan program canggih dalam bidang tersebut di mana pelajar yang berjaya menamatkan kursus akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Marin.

Dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan kampus tersebut, Abang Johari turut berkongsi bahawa kampus ini akan dilengkapi dengan teknologi simulasi terkini. 

"Kita telah diberi taklimat mengenai teknologi simulasi yang akan digunakan untuk melatih pelajar menguruskan kapal dalam pelbagai keadaan," kata beliau.

Selain itu, Premier Sarawak mencadangkan agar satu modul khusus yang melibatkan teknologi bawah air terkini turut diperkenalkan. 

Modul ini diharapkan dapat memberikan impak kepada penggunaan kenderaan bawah air, yang kini semakin penting dalam industri perkapalan, terutamanya dalam sektor minyak dan gas, jelas beliau. 

Teknologi “remote sensing” yang menghubungkan kenderaan bawah air dengan pusat kawalan, membolehkan pemantauan dan penyelenggaraan dilakukan secara digital, jelas beliau lagi. 

Abang Johari juga menyarankan agar UTS Kolej Laila Taib bekerjasama dengan negara Turkiye dalam bidang teknologi marin dan aeroangkasa. Kerjasama ini dijangka dapat memperkukuh lagi keupayaan kampus tersebut dalam menyediakan pendidikan dan latihan yang relevan dengan perkembangan teknologi global.

Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai penggunaan teknologi Carbon Capture, Utilization, and Storage (CCUS) yang kini menjadi keutamaan. 

"Teknologi ini memerlukan pendekatan baharu dalam penyelenggaraan, menggunakan teknologi canggih yang selari dengan perkembangan semasa," tambah beliau.

Di samping itu, UTS Kolej Laila Taib juga dirancang untuk memperkenalkan penggunaan 'compound chip' melalui kerjasama dengan pihak SMD. 

Program ini bertujuan untuk melatih pelajar dalam pengurusan data geologi bawah laut, yang akan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam bidang kejuruteraan mekanikal lanjutan.

Dengan penubuhan kampus ini, Mukah dijangka akan menjadi pusat pendidikan maritim terkemuka di Malaysia, sekaligus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam industri kejuruteraan marin global.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia Dato Hajah Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Bin Marzuki dan Naib Canselor, Universiti Teknologi Sarawak Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid.